





Adam,mengertilah...




Assalamualaikum..Nota hari ini..tak ada apa yang best pun sebenarnya..ana cuma ambil dari email. artikel lama. Rasa macam best je kalau dikongsi sama2 dengan pembaca kan? ok jom baca kat bawah ni..

Antara isu yang sering menarik perhatian dan menjadi salah faham serta serangan golongan anti Islam adalah berhubung dengan isu wanita. Isunya pelbagai tetapi temanya sering sama berkaitan dengan penindasan, diskriminasi, keganasan, ketidakadilan dan tiada kebebasan yang diberikan kepada wanita Islam dalam menjalankan kehidupan mereka.
Perbincangan ‘Kemuliaan Mahkota Wanita’ dipilih secara simboliknya kerana rambut dikaitkan sejak sekian lama dengan kecantikan dan kemuliaan wanita. Namun, kita akan membincangkan topik ini dalam konteks bagaimana Islam menjaga kehormatan wanita dengan mewujudkan satu sistem hijab yang merangkumi antara lain garis panduan pakaian menutup aurat dan menjaga pandangan dan batas-batas pergaulan untuk mengatur (bukan menyekat) interaksi antara lelaki dan perempuan dalam masyarakat.
Sejarah Tudung
Sejarah pemakaian tudung kepala ini sebenarnya bermula berkurun lamanya sebelum kedatangan Islam. Sejarah Judeo-Kristian membuktikan pemakaian tudung kepala diamalkan oleh rahib wanita mereka. Dengan kedatangan Islam wanita diperintahkan Allah untuk melabuhkan tudung kepala mereka menutupi belahan dada. Menurut hadis yang diriwayatkan Bukhari, Aisyah radiallahuanha menceritakan kisah ketika Surah An Nur ayat 31 diturunkan di Madinah wanita mukmin Ansar dan Muhajirin terus melaksanakan perintah ini serta-merta tanpa banyak soal dengan mencari apa sahaja kain di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah perintahkan. Petanda keimanan mereka terserlah dengan sikap Sami’na Wa’ato’na (Kami mendengar dan kami taat) terhadap apa jua perintah dan ketetapan Allah tanpa perlu melihat rasional dan hikmah yang terselindung di sebalik perintah tersebut.
Dengan berlalunya masa, kemerosotan iman dan penghayatannya berlaku di kalangan umat Islam. Penjajah pemikiran dan sekutunya bertungkus-lumus menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar. Antara usaha mereka adalah menanggalkan tudung dari kepala wanita Islam. Mereka berjaya meyakinkan wanita bahawa untuk maju, mereka harus mengikut budaya Barat dan bebas daripada penindasan agama melalui cara berpakaian. Cara hidup sekular dan propaganda pembebasan wanita pun dimainkan.
Shah Iran pada tahun 1936 misalnya memulakan polisi membuka tudung wanita dan memaksa mereka berpakaian cara Barat. Pemandu teksi akan dikenakan denda sekiranya membawa wanita bertudung dan polis disuruh mencabut tudung wanita yang berjalan di jalanraya. Malah arahan diberikan supaya tudung wanita ini dikoyakkan sekiranya mereka memakainya di khalayak umum. Di Malaysia sendiri sebelum tahun 1970-an, amat jarang wanita memakai tudung kecuali mereka di pedalaman dengan fesyen menampakkan jambul.
Dengan bermulanya era kebangkitan Islam zaman 1970-an dan 1980-an, wanita kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar. Mereka menyedari kewajiban menutup aurat dan dengan kesedaran dan kerelaan sendiri mereka mula memakai tudung. ‘Tudung dakwah’ adalah sinonim dengan cara pemakaian tudung yang betul mengikut syariat selari dengan golongan dakwah yang mengamalkannya.
Lama-kelamaan amalan ini meresap ke dalam masyarakat sehingga menjadi semacam kewajiban yang tersirat dan dijadikan sebahagian pakaian seragam sekolah. Akibatnya, kian ramai yang mengenakan tudung hanya kerana terpaksa, sebagai pakaian seragam ataupun kerana mengikut perkembangan fesyen semasa dan bukannya bersandarkan kefahaman dan kesedaran untuk mengamalkan syariat Allah. Tidak sedikit yang mencemari kesucian tudung yang dipakai dengan terlibat dalam pelbagai kelakuan yang tidak bermoral lagi sumbang.
Namun, fenomena ini juga tidak bertahan lama. Idea-idea asing atas nama pembebasan wanita dan perjuangan menuntut hak wanita mula bertapak di Malaysia, kali ini dalam bentuk pemikiran Islam Liberal yang mempersoalkan hal tudung ini. Menggunakan platform kebebasan individu utnuk mengamalkan agama dan hak asasi manusia, mereka mempersoal dan menimbulkan kekeliruan yang bukan sedikit dalam masyarakat.
Beberapa peristiwa mutakhir di Malaysia menunjukkan keruncingan kemelut tudung ini. Antaranya:
Sebelum ini, isu pemakaian tudung pelajar MRSM dan Universiti Islam Antarabangsa telah pun mencetuskan kontroversi. Antara hujah mereka yang menentang penguatkusaan tudung sebagai pakaian seragam samada di sekolah mahupun dalam pasukan beragam adalah kerana ia kononnya mencabuli kebebasan individu dan menurut mereka terdapat khilaf ulama berhubung bentuk pakaian wanita Islam khususnya dalam pentafsiran Surah An Nur ayat 31. Mereka mahukan ayat ini ditafsir semula mengikut citarasa dan kehendak nafsu mereka. Sedangkan jumhur ulama sebenarnya sudah sepakat berhubung dengan maksud ayat ini dan meletakkan garis panduan cara berpakaian bagi wanita dan lelaki menurut syariat (lihat di bawah).
Di peringkat antarabangsa pula, isu tudung bagi wanita Islam terus mencetuskan kontroversi. Kes Ahli Parlimen terkemuka Turki, Merve Safa Kavakci daripada Parti Kebaikan Turki yang dipecat kerana bertudung, Shabina(seperti nama ana ^_^ )Begum, 17 tahun di London dan empat pelajar Singapura yang dinafikan persekolahan juga kerana bertudung, terus menjadi antara kes sekularisme vs Islam yang akan tersimpan dalam lipatan sejarah.
Selain itu, tindakan Perancis mengharamkan pemakaian tudung di sekolah awam telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Eropah menentang tindakan yang tidak bertamadun ini. Ribuan wanita turun membanjiri jalan raya London membawa sepanduk menegaskan bahawa hijab adalah satu kewajiban dan menjadi pilihan wanita Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka. Hijab juga melambangkan kebebasan, bukan penindasan terhadap kaum wanita. Dengan berhijab, wanita menuntut supaya mereka dinilai dan dilihat atas dasar keimanan dan kebijaksanaan serta budi pekerti dan bukan hanya bahan tontonan objek seks semata-mata.
Bagaimana pula sikap kita yang sedang membaca?
Tudung dan Syariat
Isu tudung tidak seharusnya menjadi polemik dalam masyarakat. Ia bukan soal etika berpakaian. Bagi Muslim, menutup aurat adalah perintah agama yang wajib dilaksanakan. Orang yang menggunakan ayat Allah dalam permulaan ayat 256 Surah Al Baqarah yang bermaksud “Tiada paksaan dalam agama…” sebagai sandaran tidak boleh menguatkuasakan perintah bertudung telah melakukan kebatilan dalam agama. Memang benar tiada paksaan dalam menganut agama Islam. Namun, setelah yakin Islam adalah ajaran hidup yang benar, semua umat Islam tidak terkecuali daripada menjalankan peritah Allah secara keseluruhannya sebagaimana firman Allah dalam surah yang sama pada ayat awal dari surah Al Baqarah ayat 208 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu.
Peri hal kewajiban menutup aurat telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah dalam surah An Nur ayat 31 bermaksud:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka; …
Golongan Islam Liberal menghujah bahawa kalimat khumur sebagai sekeping kain untuk menutup dada (maka cukup dengan memakai selendang di dada tanpa perlu menutup rambut) sedangkan tafsiran jumhur ulama adalah melabuhkan tudung yang sedia dipakai itu menutup rambut dan menutup belahan dada.
Cara Menutup Aurat – Panduan Syariat
Al Quran dan As Sunnah tidak memperincikan bentuk atau warna hijab atau tudung (sebahagian makna dari hijab), mahupun pakaian yang harus digunakan oleh wanita Muslim. namun, ulama memberikan garis panduan cara berpakaian mengikut landasan syariat. Antaranya ialah:
Hijab – Satu Sistem Sosial yang Lengkap
Perintah untuk kita mengamalkan Islam secara keseluruhannya mempunyai makna yang mendalam sebab Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap yang akan menjamin kesejahteraan hidup umat manusia sekiranya dilaksanakan dengan sempurna. Salah satu daripada peraturan hidup Islam adalah sistem hijab iaitu satu peraturan sosial yang mengatur kehidupan manusia terutamanya dalam hal-hal yang membabitkan perhubungan dan pergaulan antara lelaki dan wanita. Perintah ini tidak hanya untuk wanita, malah mesti dilaksanakan dan dipatuhi oleh kaun lelaki sebagaimana penegasan Allah dalam sebelumnya iaitu ayat 30 surah An Nur di mana arahan ini diperintahkan terlebih dahulu kepada kaum lelaki yang beriman.
Katakanlah kepada lelaki beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya…
Panduan yang merangkumi perintah untuk lelaki dan wanita termasuklah:
Sementara perkara berikut dikhususkan untuk wanita sahaja di atas hikmah tertentu:
Jelas di sini tiada diskriminasi gender dalam Islam. Yang ada hanyalah peraturan tertentu sesuai dengan perbezaan kejadian lelaki dan wanita. dasar kesamarataan antara insan lelaki dan wanita dalam Islam termaktub jelas dalam Al Quran, antaranya dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
Wahai Manusia! Sungguh Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa.
Sementara hakikat perbezaan kejadian dan tindakan lelaki dan wanita dinyatakan Allah di dalam Al Quran dalam surah Al Lail ayat 3 dan 4 yang bermaksud:
Dan demi makhluk ciptaanNya lelaki dan perempuan. Sesungguhnya amal usaha kamu itu berbeza-beza.
Hijab dan Sains
Semenjak dahulu lagi hijab dikenakan dalam syariat Kristian dan lain-lain syariat.Namun walaupun penafian terhadap hijab ini amat hebat ia tetap menepati ciri fitrah manusia yang semulajadi membantu dalam gejala sosial, akhlaq dan kesihatan. Kesihatan? Ya, hijab punya nilai tambah dalam soal kesihatan badan. Ini dilaporkan dalam artikel The Science Behind The Veil di IslamOnline.net tulisan Karima Burns yang mengatakan:
Ujian menunjukkan 40-60 % daripada tahap kepanasan badan seseorang hilang melalui kepala jesteru menutupnya terutama di musim sejuk dapat mengawal suhu badan seseorang berbanding mereka yang lain. Menutup kepala juga bermanfaat bagi kesihatan dimusim panas. Pakar otak, V.G Rocine mengatakan fosforus otak akan mencair pada suhu 108° Fahrenheit. Keadaan ini boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada panas terik tanpa menutup kepala. Pencairan fosforus boleh menyebabkan fungsi otak menurun dan akan memberi beberapa kesan negatif kepada otak.
Artikel Highest Phosphorus Foods di Canadian Neuro-Optic Research Institute Online juga menyatakan bahawa :
Sekiranya suhu badan seseorang mencecah lebih daripada 105° Fahrenheit ia amat berbahaya kerana fosforus otak akan cair dan menjejaskan kesihatan otak. Jesteru kepala hendaklah ditutup dalam keadaan cuaca panas.
Ya melihatkan fesyen pada baju kini kebanyakannya ditambahkan sekali penutup kepala contohnya baju sejuk tebal yang berfungsi mengawal suhu badan dan mengelak kehilangan haba badan serta kelupasan kulit. Ini adalah sebenarnya melihatkan faktor cuaca. Namun Muslim bukan memakai sesuatu pakaian disebabkan faktor cuaca tetapi adalah perintah Allah yang menuntut Muslim itu menutup auratnya.
Penutup
Pemakaian tudung adalah suatu kewajiban syarak. Ia bukanlah isu pilihan peribadi dan mengenai hak asasi. Tanggapan bahawa adalah salah menghukum seseorang kerana ia tidak memakai tudung merupakan suatu tanggapan yang terpesong.
Tudung juga tidak bolehdianggap sebagai adat budaya orang Melayu sahaja dalam konteks Malaysia ini. Orang Melayu dulu, memakainya kerana agama Islam yang mereka anuti. Bagi umat Islam di Malaysia, pendidikan mengenai tudung, hakikat syaraknya dan cara pemakaiannya yang betul hendaklah diperbetul dan diperhebatkan. Ini adalah perlu sebab ramai antara kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia tidak difahamkan dengan jelas, samada oleh individu di sekelilingnya, masyarakat, keluarga mahupun pemerintah tentang kewajiban mengenakan tudung dan pakaian menutup aurat yang sah di sisi syarak. Dengan pemahaman ini, masyarakat akan lebih peka mengenai aturan syarak dalam penutupan aurat. Seterusnya, ini akan menimbulkan kepekaan yang amat tinggi dalam masyarakat, tegur-menegur atas kebaikan, khususnya dalam isu pemakaian tudung dan pakaian menutup aurat yang betul akan berleluasa dan rahmat Islam akan menyelubungi seluruh umat.
Di samping pendidikan dan teguran, hukuman takzir juga boleh dilaksanakan oelh negara Islam yang berdaulat kepada sesiapa yang tidak melaksanakan pemakaian tudung dan pakaian Islam yang sah di sisi syarak. Ini pernah dilakukan oleh Sultan Abdul Hamid II, Khalifah Uthmaniyyah Turki, dengan mengeluarkan pekeliling mendenda wanita yang tidak memakai tudung.
Akhirnya, perintah menutup aurat dan berhijab ini hanyalah sebahagian kecil daripada banyak sistem dan cara hidup Islam yang telah ditinggalkan dan diambil ringan. Sistem hijab mestilah dijalankan seiring dengan sistem kehidupan Islam yang lain merangkumi sistem pemerintahan, ekonomi, perundangan, penghukuman, pendidikan dan sosial. Dengan ini barulah kesejahteraan umat yang sebenarnya yang dijanjikan Islam dapat direalisasikan. Ini memerlukan kerjasama yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak untuk melaksanakannya.
sumber asal : klik
Sukan merupakan suatu aktiviti yang memiliki banyak kelebihan tidak hanya terhad kepada kebaikan daripada segi fizikal dan sosial malahan juga dari segi psikologi. Kebaikan-kebaikan ini adalah sebagai suatu ´keperluan asas´ bagi kedua-dua gender sebagai satu kaedah bagi memastikan tahap kesihatan fizikal mahupun emosi berada di dalam keadaan yang terbaik.
Pada asasnya, Islam tidak pernah menolak sebarang bentuk aktiviti sukan malah Islam sangat menggalakkan umatnya bersukan sebagai suatu aktiviti riadah yang menyihatkan. Rasulullah s.a.w turut menganjurkan umatnya menyertai aktiviti sukan sebagai suatu aktiviti senaman yang paling mujarab.
Islam sebagai agama yang syumul, sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal umatnya disamping menjaga hubungannya dengan Pencipta Yang Maha Agung. Walau bagaimanapun, Islam turut menetapkan beberapa syarat dan peraturan yang perlu digunapakai sebagai rujukan dalam menjana setiap gerak-geri umatnya bertujuan agar tidak terpesong daripada ajaran Islam yang hakiki.
Justeru, perkaitan di antara sukan dan penglibatan kaum wanita turut dibatasi dengan tata cara dan tertib yang telah digarispanduankan oleh Islam bertujuan sebagai suatu penetapan bagi mencipta garis keseimbangan di antara hal wanita Islam di dalam sukan dan kepentingan dalam memelihara maruah dan kedudukannya sebagai seorang Muslim.
Dalam situasi ini, Islam telah menyediakan satu garis panduan sebagai suatu metode rujukan bertujuan untuk memelihara kehormatan kaum wanita Muslim daripada perkara-perkara yang boleh melanggar batas-batas moral dan akidah Muslim.
Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi menegaskan bahawa:
“Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh seorang wanita Islam mengenai penyertaannya di dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya.
“Manakala aurat bagi seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat hingga ke lutut. Justeru, selagi syarat dan peraturan penutupan aurat ini tidak dilanggar, maka, tidaklah menjadi suatu kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun lelaki melibatkan diri mereka di dalam aktiviti sukan.”
Dr. Ali Muhyy Ed-Deen Al-Qara Daaghi, Ketua di Jabatan Usul al Fiqh, Fakulti Syariah, Universiti Qatar menambah:
“Tidak dapat disangkal bahawa agama Islam tidak pernah menghalang kaum wanita melibatkan diri mereka di dalam sukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira. Syarat-syarat tersebut adalah:
1) Wanita dilarang memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik perhatian kaum lelaki.
2) Wanita dilarang mendedahkan aurat mereka.
3)Wanita dilarang bergaul dengan kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan.”
Bersukan dan beriadah merupakan ´hiasan hidup´. Justeru, berlebih-lebih sehingga mengorbankan perkara-perkara yang menjadi kehendak dan keperluan di dalam hidup apatah lagi jika perkara tersebut merupakan keperluan asasi adalah berlawanan dengan fitrah Islam. Semua perkara yang diharuskan disertakan bersamanya syarat tidak keterlaluan kerana Allah s.w.t. tidak menyukai golongan yang melampau dan berlebih-lebihan.
Aktiviti sukan dan riadah ini tidak seharusnya menjadi faktor penyebab bagi wanita khasnya dan lelaki khususnya lalai daripada memenuhi tuntutan agama dan kewajipan dunia. Individu dan masyarakat Muslim tidak kira lelaki mahupun wanita dituntut supaya mengimbangi di antara kehendak dirinya dan kewajipan yang dituntut agama.
promo YASMIN : khas buat akhawat kedah dan taakhi majlis kebajikan keluarga kedah
15/03/2010 : acara padang di ARMA. bagi kumpulan2 yang terlibat. buat yang terbaik untuk acara bola jaring,bola tampar,kapital dan futsal. kita berentap disana ^_^
16/03/2010 : 8jam pelayaran kapal Sungai NIL,kaherah. persembahan nasyid juga diserikan lagi dengan persembahan anak2 pegawai yang disayangi. ^_^
acara diteruskan dengan gubahan dan melukis serta gubahan di dewan At-tasmuh wal ikha' rumah kedah.
acara menarik : persembahan busana muslimah yang diadili oleh isteri pegawai : mama nawal ^_^
PENTING :sama-sama kita meriahkan suasana disana. bagi mereka yang tidak mendaftarkan diri(barangkali tidak sempat kot), jangan sedih2,anda juga dijemput untuk menyaksikannya sekiranya anda mempunyai sedikit "kelapangan waktu" anda yang sendat itu untuk memenuhi ruang dewan asrama petang hari tersebut. majlis bersurai pada waktu malam.
akhir kata :
Bersukanlah,akhlak jaga
Bersukanlah,pakaian jaga
Bersukanlah,pergaulan jaga
Bersukanlah,suara jaga…
kenapa ya? kerana dirimu sungguh berharga...^_^